• Pesawat Red Arrow Terhempas, Jurutera Terbunuh

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+

    LONDON: “Saya amat terkejut dengan apa yang saya lihat,” kata jurugambar amatur, David Taylor yang sempat merakam kejadian pesawat pasukan aerobatik Britain, Red Arrow, terhempas di RAFF Valley, utara Wales, Selasa lalu.

    Menurut Taylor, pesawat Hawk T1 dinaiki juruterbang David Stark dan jurutera Jonathan Bayliss itu berlepas seperti biasa, namun berpatah balik secara mendadak dengan gear pendaratan terkeluar menuju landasan.

    “Saya membayangkan mereka tidak akan terselamat. Pesawat itu terbang pada ketinggian sekitar 21 hingga 24 meter sebelum letupan kuat,” katanya kepada Daily Mail.

    Juruterbang sempat melenting keluar dari pesawat namun Bayliss yang baru beberapa bulan menyertai pasukan jurutera Red Arrow, terbunuh.

    Kejadian itu yang pertama membabitkan pesawat Red Arrows Tentera Udara Diraja (RAF) sejak 2011.

    Rakaman video menunjukkan pesawat terbang selama 116 saat sebelum nahas berlaku. Rakaman itu diserahkan kepada polis dan RAF bagi membantu siasatan.

    Setiausaha Pertahanan, Gavin Williamson, yang mengesahkan kejadian, berkata beliau bersimpati dengan tragedi menimpa Koperal Bayliss.

    “Menurut rakan sekerjanya, dia jurutera berkebolehan dan dianggap contoh terbaik oleh Angkatan Tentera Britain,” katanya.

    Bayliss berasal dari Kent, menyertai RAF pada 2001 selepas bekerja di litar perlumbaan motor Brands Hatch.

    Jurucakap RAF berkata, semua pesawat Hawk T1 tidak dibenarkan terbang sehingga siasatan selesai.

    Red Arrows adalah pasukan aerobatik terkenal dunia, melakukan pelbagai aksi menarik di udara dengan pesawat Hawk T1.

    Tragedi pada Oktober 2011, Leftenan Penerbangan Jon Egging, 33, terbunuh dalam nahas ketika pertunjukan udara berhampiran Bournemouth, manakala pada November, juruterbang Sean Cunningham maut selepas melenting keluar ketika pesawat masih berada di landasan.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Pesawat Red Arrow Terhempas, Jurutera Terbunuh "