• Persempadanan Fasa Terakhir

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    UMUM mengetahui Laporan kajian semula syor persempadanan kawasan pilihan raya telah diedarkan dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat Rabu ini.

    Dokumen kajian persempadanan semula ini dilihat sebagai fasa terakhir sebelum bermulanya perang PRU14 bagi semua parti yang bertanding.

    Disebabkan isu persempadanan ini terlalu penting untuk dibahaskan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum memulakan sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri Khamis lalu, tidak membenarkan mana-mana ahli Parlimen untuk dedahkan kandungan laporan tersebut.

    “Saya ingin mengingatkan bahawa kesemua dokumen tersebut tidak boleh disiarkan, embargo sehingga dibentangkan pada Rabu, 28 Mac 2018,” katanya.

    Kali terakhir proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan pada 2003 dan sepatutnya dijalankan pada 2011 namun terpaksa ditangguhkan berikutan memberi tumpuan kepada PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.

    Perkara 1139(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang lapan tahun selepas setiap kali persempadanan semula sebelum itu dan tidak boleh melebihi tempoh 10 tahun.

    Pada 2003, laporan akhir persempadanan semula diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Mac 10 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April tahun sama.

    Ramai pemerhati politik berpendapat, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan persempadanan semula dan diluluskan Dewan Rakyat serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, beliau akan membubarkan Parlimen.

    Ini bermakna kemungkinan besar Parlimen akan dibubarkan adalah pada penghujung Mac atau awal April.

    Sekiranya ini berlaku, PRU14 dijangka berlangsung antara 5 hingga 13 Mei iaitu sebelum bulan Ramadan.

    Dalam isu persempadanan semula yang bakal dibentangkan Rabu ini, banyak pihak khususnya daripada pembangkang memberi pelbagai alasan seperti SPR berlaku tidak adil dan menyebelahi kerajaan.

    Begitu juga dengan Bersih 2.0 yang turut membantah laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat ini dengan alasan masih terdapat beberapa kes mahkamah berkaitan proses persempadanan semula yang belum selesai.

    Bagi Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula, persempadanan semula kawasan pilihan raya bukan penentu kepada kredibiliti seseorang wakil rakyat termasuk untuk meningkatkan sokongan pengundi.

    Beliau menegaskan jika seseorang calon termasuk jentera parti yang ada itu kukuh serta diterima rakyat, ia tidak perlu takutkan soal persempadanan semula kawasan.

    Sementara itu, Penasihat Undang-Undang SPR, Azizan Md Arshad berkata, Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu tidak akan menambah atau mengurangkan kerusi Parlimen dan Dun.

    Katanya, ini kerana persempadanan semula baharu ini hanya melibatkan kawasan mengundi dan tidak menyentuh soal kerusi.

    “Sekiranya persempadanan semula yang baharu ini diluluskan Dewan Rakyat, bilangan kerusi Parlimen tetap 222 dan Dun pula 587 serta ia sama seperti sebelum ini,” katanya.

    Jelasnya, SPR tidak berat sebelah dalam soal persempadanan semula walaupun terdapat rungutan dan bantahan daripada pelbagai pihak dengan alasan terdapat jumlah pengundi tidak sekata serta berat sebelah di sesuatu kawasan.

    Manakala menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, perdana menteri akan membubarkan parlimen selepas sidang Dewan Rakyat yang berakhir pada 5 Mac ini atau lebih tepat lagi selepas BN melancarkan manifesto mereka.

    “Kebiasaannya begitulah, apabila BN telah lancar manifesto iaitu pada 7 April ini, perdana menteri akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran.

    "Jika kerajaan nak adakah PRU sebelum pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akan adakah seminggu sebelum Ramadan iaitu pada 5 Mei atau jika jauh sedikit antara 12 dan 13 Mei ini,” katanya kepada Sinar Harian.

    Sekiranya benar PRU14 berlangsung pada 5 Mei, ini bermakna setiap parti mempunyai masa kurang daripada dua bulan bagi membuat persiapan. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Persempadanan Fasa Terakhir "