• Perintah Berkurung ESSZONE Dilanjutkan

    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-84.

    Tempoh perintah berkurung bagi fasa baharu itu dilanjutkan mulai petang esok hingga 22 Mac ini.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

    Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.

    "Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

    "Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

    "Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

    Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.

    "Saya memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perintah Berkurung ESSZONE Dilanjutkan "