• Perdana Menteri Rasmikan PU Sendayan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 16 March 2018
    A- A+


    SEREMBAN: Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Pangkalan Udara (PU) Sendayan yang akan menjadi pusat latihan terbesar dan utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

    Perdana Menteri yang tiba pada pukul 9.20 pagi menyempurnakan upacara perasmian di pintu gerbang pangkalan tersebut dan disusuli dengan menandatangani plak perasmian.

    Yang turut hadir Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

    Perdana Menteri kemudian mendengar taklimat projek pembangunan PU Sendayan serta menyempurnakan perbarisan di padang kawad Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara.

    Pangkalan udara yang dibina di atas kawasan seluas 303.5 hektar itu akan menempatkan markas dan pasukan TUDM yang sebelum ini beroperasi di PU Kuala Lumpur.

    Pembinaan kemudahan di PU Sendayan bukan sahaja merangkumi fasiliti ketenteraan tetapi juga bangunan pentadbiran dan sokongan seperti pusat Islam, kompleks sukan dan rekreasi, padang golf serta 693 unit kediaman.

    PU Sendayan yang terletak 12 kilometer dari bandar Seremban tidak mempunyai landasan penerbangan kerana tidak melibatkan operasi penerbangan. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Perdana Menteri Rasmikan PU Sendayan "