• Penyakit Misteri Buat Cico Buta Huruf, Tak Boleh Kerja

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    NAMA Cico Harahap pernah dikenali sebagai seorang pelakon dan penyanyi berbakat sekitar tahun 2000-an.

    Namun kini, jarang sekali mendengar perkhabaran tentangnya sama di dada-dada akhbar mahupun di program televisyen.

    Setelah lama ‘hilang’ dari radar, Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 40, kini dikatakan menghidap penyakit misteri sekitar Disember tahun 2016 yang lalu.

    Semuanya terjadi apabila dia dikatakan telah keluar untuk bertemu dengan rakan-rakannya pada ketika itu.

    “Saya sukar nak cakap apa yang berlaku kerana tiada di tempat kejadian. Saya difahamkan pihak terbabit meletakkan sesuatu dalam minumannya.

    “Saya juga tidak pasti siapa yang menghantarnya pulang. Bukan cara elok tapi dia ditinggalkan dekat pintu dan Cico merangkak masuk ke dalam rumah,” kata ibunya, Uji Rashid dipetik daripada kenyataan Harian Metro tahun lalu.

    Kini, selepas apa yang menimpa Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al-Rashid baru-baru ini, ada pula mulut jahat yang mempertikaikan tanggungjawab Cico sebagai seorang anak yang kononnya membebankan hidup ibunya sendiri.

    Namun, Uji tetap tabah dalam menguruskan Cico bagi meneruskan kehidupanya bersama cucu tunggalnya.

    Tak tahan dengan tohmahan negatif daripada sesetengah masyarakat, penyanyi lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu menjelaskan keadaan sebenar yang menimpa mereka anak beranak sejak beberapa tahun dahulu.

    “Saya harapkan apabila saya tua seperti ini agar anak saya menggalas tanggungjawab untuk menjaga saya. Tetapi itu hanya perancangan saya, yang menentukan kuasa Allah.

    “Selepas terkena penyakit misteri, kehidupan anak saya tidak seperti orang lain. Tidak boleh membaca dan bercakap adalah sebahagian daripada penyakit yang dihidapi. Yang paling teruk apabila dia tidak mampu lagi bekerja seperti biasa,” katanyaa dipetik daripada sebuah akhbar tempatan.

    Dulu Uji pernah menjalani kehidupan bahagia bersama anak-anak dan cucunya tetapi kini dia tidak kisah jika perjalanan hidupnya tidak seperti rakan-rakan yang lain.

    Cuma satu sahaja impiannya ketika ini, iaitu melihat Cico kembali sihat seperti sediakala.

    “Fokus saya kini agar anak saya kembali pulih seperti biasa. Saya tidak kisah susah dan masih terpaksa bekerja untuk bayar wang perubatannya. Sebagai ibu saya akan sentiasa bersama-samanya melalui dugaan ini.

    “Kalau mahu kata sedih, bagi saya perasaan itu akan dilalui setiap ibu. Bayangkan kita sudah besarkan anak yang sebelum ini sudah mampu membantu kita dengan bekerja, sekarang untuk buat apa sahaja tidak mampu, siapa yang tidak sedih,” tambahnya.

    Kisah kehidupan Uji Rashid mendapat perhatian media pada pertengahan awal bulan lalu apabila dia dikatakan telah diugut untuk dihalau dari rumah sewanya dekat Taman Dagang, Ampang.

    Mujur kini nasib menyebelahi penyanyi yang popular di era 1970 itu apabila dia telah menerima kunci bagi rumah Projek Perumahan Rkayat (PPR) di kawasan Subang, Selangor. –MYNEWSHUB.CC/ AH

    Subjects:

  • No Comment to " Penyakit Misteri Buat Cico Buta Huruf, Tak Boleh Kerja "