• Penjenayah Maut Berbalas Tembakan

    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    Dua penjenayah maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Persiaran Ainsdale Selatan, Seremban, hari ini.

    Sumber berkata, dalam kejadian 3.15 pagi itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Labu, Seremban dan menemui kereta dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, polis cuba memintas dan mengarahkan pemandu memberhentikan kereta namun kenderaan itu memecut.

    "Sehubungan itu polis mengejar hingga ke Persiaran Ainsdale Selatan sejauh dua kilometer.

    "Sebaik tiba di tepi jalan, seorang lelaki keluar kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah polis manakala seorang lagi lelaki menyerang menggunakan parang ke arah anggota polis," katanya.

    Menurut sumber itu, polis terpaksa mempertahankan diri dan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua penjenayah berkenaan.

    "Kedua-dua lelaki terbabit maut ditembak. Pemeriksaan ke atas mereka tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

    Katanya lagi, pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati nombor pendaftaran palsu dan kereta itu turut digunakan bagi kegiatan jenayah di Klang, Selangor.

    Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin yang dihubungi mengesahkan kejadian dan akan mengadakan sidang media petang ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Penjenayah Maut Berbalas Tembakan "