• Penjawat Awam Hadapi 33 Tuduhan Salah Guna Kuasa

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU – Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ke atas 33 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melantik syarikat miliknya bagi menjalankan kerja-kerja pembekalan di pejabat Cure & Care Rehabilitation Center (CCRC), Papar tiga tahun lepas.

    Mohd Syamsul Jikan, 41, dituduh melakukan semua kesalahan yang melibatkan RM163,437 itu semasa menjadi penyelenggara stor di CCRC berkenaan dalam tempoh Januari 2015 hingga Oktober 2015.

    Tiga puluh pertuduhan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Manakala tiga lagi pertuduhan adalah di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu untuk tujuan kerja-kerja pembekalan di pejabat CCRC berkenaan.

    Hakim Abu Bakar Manaf membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan bayaran deposit sebanyak RM25,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 25 April depan sebagai sebutan semula kes.

    Mohd Syamsul tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd Hadi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penjawat Awam Hadapi 33 Tuduhan Salah Guna Kuasa "