• Penghuni Rumah Kebajikan Rogol OKU Dipenjara 15 Tahun, 10 Sebatan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Seorang penghuni rumah kebajikan dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang juga merupakan penghuni rumah kebajikan tersebut, tahun lalu.

    
P. Ravi Kumar, 40, dijatuhi hukuman itu setelah menukar pengakuan kepada bersalah hari ini sejurus selepas mendengar keterangan impak kesalahan terhadap mangsa yang diberikan oleh wanita itu di hadapan Hakim Azwarnida Affan.

    
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu yang sebelum ini bekerja sebagai pemasang paip telah merogol mangsa berusia 34 tahun yang merupakan OKU pekak dan bisu tanpa kerelaannya serta melakukan seks luar tabii terhadap wanita itu.

    Ravi Kumar yang belum berkahwin melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam tandas Dewan M, Kompleks Penyayang Bakti, Jalan Meranti, SD 13/4, Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, di sini, pada pukul 3.30 petang, 19 Jun 2017.

    
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat serta Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan tujuh kali bagi kesalahan merogol manakala bagi kesalahan seks luar tabii, lelaki itu dihukum penjara lima tahun dengan tiga sebatan. Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Penghuni Rumah Kebajikan Rogol OKU Dipenjara 15 Tahun, 10 Sebatan "