• Penemuan Kepala Wanita, Polis Tahan Suami Mangsa Untuk Bantu Siasatan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Polis Sri Aman menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan terhadap penemuan objek menyerupai kepala manusia di tebing Sungai Batang Lupar, Jalan Skait Sri Aman Sabtu lalu.

    Suspek yang berusia 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut selepas didapati memberikan keterangan yang meragukan ketika ditanya mengenai kehilangan isterinya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, Ahad lalu pada jam lebih kurang 1.45 petang seorang lelaki warganegara China tampil membuat pengecaman kepala wanita yang dijumpai dan mengesahkan ia adalah anaknya.

    Menurutnya, anaknya yang berusia 31 tahun telah mengahwini seorang peniaga warga tempatan pada tahun 2011 dan menetap di Sri Aman dan telah dikurniakan dua orang anak.

    Jelas Dev selepas pengecaman mangsa dilakukan oleh bapa kepada wanita malang terbabit, suami kepada mangsa telah dibawa ke balai polis dan menjalani proses soal siasat menyatakan bahawa isterinya telah hilang sejak beberapa hari lalu namun dia tidak tampil membuat laporan polis atas alasan-alasan tertentu.

    “Dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, selepas laporan mengenai penemuan objek menyerupai kepala manusia di tebing Sungai Batang Lupar sepasukan anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan melalui pemeriksaan tersebut mendapati kepala tersebut adalah milik seorang wanita.

    “Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan oleh doktor di Hospital Sri Aman mendapati bahawa wanita ini baru mati dalam tempoh 24 jam.

    “Pada mulanya kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan penuh laporan bedah siasat.” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

    Jelas beliau suspek kini direman selama tujuh hari dan kes telah diklasifikasi semula sebagai bunuh dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Sarawakiana


  • No Comment to " Penemuan Kepala Wanita, Polis Tahan Suami Mangsa Untuk Bantu Siasatan "