• Penduduk Rumah Panjang Diseru Dengar Suara Majoriti

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing menyeru agar semua penduduk rumah panjang di kawasan Parlimen Bintulu berbincang serta mendengar suara majoriti sekiranya timbul sesuatu masalah di rumah panjang masing-masing.

    Ini kerana menurutnya, dalam apa sahaja isu serta permasalahan melanda sesebuah komuniti itu, suara majoriti amat penting.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, perbincangan merupakan alternatif atau jalan penyelesaian terbaik bagi mendengar suara majoriti dan kehendak rakyat terutama penghuni rumah panjang dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu perkara atau isu yang timbul.

    “Semua ini bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan penduduk rumah panjang.

    “Saya harap semua tuai rumah sentiasa fokus terhadap apa yang dilakukan, sekali gus menjaga kepentingan anak buah dan sentiasa bekerjasama dengan kakitangan kerajaan demi keselesaan dan kesempurnaan hidup,” ujarnya.

    Sementara itu, Tiong turut meminta rakyat di kawasan Parlimen Bintulu membuat penilaian bijak antara transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan reformasi yang dilaungkan pembangkang.

    “Rakyat dalam pada itu harus bijak menilai segala usaha dan kesungguhan kerajaan dalam mentadbir dan memajukan negara serta tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah mereka yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

    Tambahnya, kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara bergantung kepada keutuhan perpaduan seluruh rakyatnya dan asas kepada sebuah perpaduan adalah semangat persefahaman dan muhibah antara kaum. – Sarawakiana
  • No Comment to " Penduduk Rumah Panjang Diseru Dengar Suara Majoriti "