• Pendekatan Pengurusan Persepsi BN Sarawak PRN Lalu Harus Dicontohi

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Sunday, 4 March 2018
    A- A+


    KUCHING – Soal persepsi adalah suatu ‘realiti politik’, yang amat sukar untuk diuruskan dengan baik kerana medium komunikasi ketika ini bukan lagi hanya berkisar kepada metodologi komunikasi konvensional, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri turut mengakui bahawa pada pilihan raya umum sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dilihat gagal menguruskan soal persepsi, sayugia pendekatan dalam menangani perkara ini harus diubah.

    Katanya melihat kepada pendekatan pengurusan persepsi yang digunakan oleh BN Sarawak sehingga membolehkan ia memperoleh kejayaan cemerlang pada pilihan raya negeri ke-11 sebelum ini, beliau yakin pendekatan itu sewajarnya dicontohi.

    “Saya merasakan walaupun persepsi di kalangan masyarakat Cina (misalnya) walaupun ketika ini dilihat berubah ke arah positif berbanding PRU-11 dan 12, saya tahu pihak pihak lawan akan gunakan serangan di saat-saat akhir untuk merungkai semua persepsi positif ini,” katanya dalam satu persidangan media selepas menghadiri mesyuarat pengurusan Polis Diraja Malaysia di Mes pegawai Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

    Sementara itu, merujuk kepada soal berkaitan gesaan kerajaan negeri supaya hak-hak negeri Sarawak dalam Malaysia dibincang supaya dapat dipastikan ia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ahmad Zahid berkata Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengingatkan komitmennya dalam perkara itu, dan beliau adalah seorang Perdana Menteri yang apabila berjanji – janji ditepati.

    Insya-Allah, soal berkaitan MA63 ini akan dimasukkan dalam manifesto BN sebagai agenda yang utama buat Sabah dan Sarawak, katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata telah menjadi amalan biasa, atau SOP, bagi pegawai polis dan anggota untuk membuat pengisytiharan harta setiap tahun, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun membuat pengisytiharan harta kepada beliau (Zahid), sebelum beliau (Zahid) memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata demikian semasa dirujuk mengenai satu artikel yang disiarkan akhbar asing baru-baru ini yang melaporkan bahawa polis Australia merampas sejumlah A$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

    “Perkara ini timbul sejak 2016, Datuk Seri Wan Ahmad ada sebut sumber sebenar wang itu dengan penjualan rumah untuk biaya pendidikan anaknya di Australia, cuma undang-undang di negara itu jika ada transaksi lebih daripada A$10,000, ia harus mendapat kebenaran khusus. Jadi mungkin Wan Ahmad agak naif mengenai sistem perundangan di Australia itu,” katanya.

    Tapi dia (Wan Ahmad) telah menjelaskan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa dan juga secara peribadi kepada saya sendiri. Kita terima penjelasannya dengan niat yang amat baik, tambahnya.

    Merujuk kepada keperluan polis Sarawak dari sudut belanjawan dalam menjalankan tugas semasa PRU nanti, Ahmad Zahid berkata beliau sedia maklum bahawa pergerakan udara, jalan sungai, malah jalan raya di Sarawak menelan belanja yang lebih besar berbanding negeri lain, terutama yang membabitkan kawasan pedalaman.

    “Saya beri jaminan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, bahawa perkara ini memang menjadi tanggungjawab Ibu pejabat Polis di Bukit Aman, dan saya akan arahkan supaya peruntukan secukupnya dibekalkan,” katanya.

    Turut hadir dalam mesyuarat pagi ini ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal, dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pendekatan Pengurusan Persepsi BN Sarawak PRN Lalu Harus Dicontohi "