• Pembinaan Terowong MRT Laluan SSP Bermula

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melancarkan kerja pembinaan terowong untuk Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia di sini, hari ini.

    Serentak itu, Perdana Menteri melancarkan Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) yang pertama daripada 12 mesin sama untuk kerja pembinaan berkenaan.

    Sebagai simbolik pelancaran itu, beliau menekan kunci pada panel khas yang mana serentak itu kepala pemotong VDTBM mula berputar diiringi bunyi siren.

    Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; dan Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).

    Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Samad; Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Azharuddin Mat Sah; Pengarah Urusan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling dan Pengerusi MMC Corporation, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

    Perdana Menteri turut melihat secara lebih dekat mesin pengorek terowong dari dek tinjauan di pelantar syaf pelancaran.

    MRT SSP dijangka siap pada Julai 2022 dan bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah sepanjang 52.2 kilometer (km).

    Kos pembinaan MRT SSP dianggar bernilai RM32 bilion dengan fokus utama pembinaan tertumpu kepada kerja pengorekan terowong yang lebih rumit dan mencabar, berbanding laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

    Ia turut merangkumi pembinaan stesen yang antaranya berada sehingga 44 meter di bawah tanah.

    Sementara itu, Tiong Lai ketika ditemui selepas majlis itu berkata, sebanyak 22 peratus kerja pembinaan MRT SSP sudah siap dan projek berjalan mengikut jadual.

    Beliau turut berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan.

    "Perdana Menteri hadir melancarkan kerja pembinaan terowong ini kerana mahu rakyat mengetahui perkembangan projek ini.

    "Di tapak ini (Bandar Malaysia) ada dua stesen besar bawah tanah iaitu satu di utara dan satu di selatan bagi menampung jumlah penumpang yang besar.

    "Ia berikutan semua stesen utama pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Express Rail Link (ERL) dan kereta api ada di sini kelak," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembinaan Terowong MRT Laluan SSP Bermula "