• Pembayaran Pendahuluan 50% Elaun Polis Bertugas PRU-14

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pembayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus melibatkan elaun tugasan bagi pegawai dan anggota polis yang akan berkhidmat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Timbalan Perdana Menteri memberitahu, elaun pendahuluan tersebut diberikan untuk kegunaan kaum keluarga mereka yang terlibat.

    “Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan pengurusan pihak polis agar anggota yang akan ditugaskan pada waktu itu diberikan pendahuluan tugas sebelum ke lokasi masing-masing.

    “Dan jika mereka mahukan baki elaun dibayar sejurus selesai tugas dijalankan, saya juga mengarahkan agar baki 50 peratus elaun itu dibayar segera oleh KDN,” katanya ketika berucap merasmikan Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

    Yang turut hadir, timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

    Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM sudah bersedia 100 peratus dalam mendepani PRU-14 yang mana jentera dan peralatan juga telah bersedia sepenuhnya.

    Dalam menjalankan tugas-tugas menghadapi pilihan raya umum katanya, beliau telah menggaris empat perkara yang harus dipatuhi setiap petugas polis antranya untuk tidak melakukan sebarang kekerasan serta provokasi.

    “Ketiga, kita harus lakukan pertemuan dengan individu-individu parti politik berbeza dan jangan berkompromi terhadap keselamatan serta ketenteraman awam yang tinggi harganya,” katanya. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Pembayaran Pendahuluan 50% Elaun Polis Bertugas PRU-14 "