• Pelajar cemerlang tanpa kerakyatan Rosiah dapat tawaran UUM

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+
    SERDANG: Pelajar cemerlang tanpa dokumen kelahiran dan pengenalan, Roisah Abdullah, ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau menemui Roisah, 20, bagi menawarkan peluang menyambung pelajaran di UUM.

    Menurut Idris, Roisah yang turut menerima beberapa tawaran lain, gembira dengan tawaran kerajaan itu, namun meminta sedikit masa untuk membuat keputusan terbaik bagi dirinya.

    “Selain tawaran itu, kita juga akan memastikan pelajar cemerlang bukan berstatus warganegara itu diberikan taraf kerakyatan untuk memudahkan proses seterusnya,” katanya selepas menghadiri program #Keeping In Touch Wanita KPT Bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia, semalam.

    Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta beberapa naib canselor wanita universiti dan barisan kepimpinan tertinggi wanita di kementerian tersebut.

    Ketiadaan dokumen kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan Roisah, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang tidak dapat melanjutkan pelajaran walaupun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

    Ibu Roisah merupakan warga asing, manakala identiti bapanya tidak diketahui. Beliau dibesarkan ibu angkatnya yang merupakan warga tempatan.

    Mengulas sama ada bilangan pelajar wanita lebih ramai di universiti mengancam lelaki melanjutkan pelajaran ke menara gading, Idris berkata, kemasukan 62% pelajar wanita di universiti ketika ini diseimbangkan dengan bilangan pelajar lelaki yang lebih tinggi di politeknik dan kolej komuniti.

    “Kita memang mencari jalan untuk mewujudkan keseimbangan enrolmen berdasarkan jantina di universiti, tetapi atas faktor tertentu seperti pencapaian akademik, ia belum dapat direalisasikan.

    “Namun begitu, keseimbangan jantuna boleh dilihat jika mengambil kira keseluruhan bilangan pelajar lelaki yang lebih ramai di politeknik dan kolej komuniti berbanding pelajar wanita,” katanya.

    Menurutnya, enrolmen wanita berbanding lelaki di politeknik berada pada kadar 48.1%, manakala kolej komuniti sebanyak 41.7%. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar cemerlang tanpa kerakyatan Rosiah dapat tawaran UUM "