• Pelabur, Pembuat Dasar Dan Pengiklan Beri Tekanan Kepada Facebook

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+

    WASHINGTON: Facebook Inc semakin menerima tekanan daripada pembuat dasar, pelabur dan pengiklan pada Khamis, sehari selepas Ketua Pengarah Eksekutifnya, Mark Zuckerberg mengaku rangkaian tersebut melakukan kesilapan sehingga 50 juta data pengguna terlepas ke tangan syarikat konsultansi politik, Cambridge Analytica.

    Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mendesak Zuckerberg untuk memberi keterangan secara peribadi di Washington bagi menjelaskan tindakan lanjut syarikatnya bagi memperbetulkan keadaan.

    Sementara itu, pengiklan seperti Mozilla dan Commerzbank menggantung pengiklanan di platform Facebook sementara hashtag #DeleteFacebook kekal popular di atas talian. Namun, tiada maklumat yang jelas tentang jumlah pengguna yang meninggalkan Facebook.

    Pada masa yang sama, para pelabur terus menjual saham-saham Facebook.

    Syarikat itu telah kerugian lebih daripada AS$50 bilion dalam nilai pasaran sejak dakwaan bermula minggu ini berikutan Cambridge Analytica mendapat akses data bagi membina profil pengundi Amerika seterusnya mempengaruhi pilihan raya presiden 2016.

    Lima hari selepas skandal itu terbongkar, Zuckerberg pada Rabu memohon maaf atas kesilapan syarikatnya dan berjanji untuk mengekang akses pembangun aplikasi kepada maklumat pengguna, sebagai sebahagian daripada pelan memperbaiki perlindungan privasi.

    Bagaimanapun, permohonan maaf dan janji Zuckerberg tidak cukup untuk meredakan tekanan politik ke atas syarikat media sosial terbesar dunia itu.

    “Sesebuah syarikat tidak sepatutnya membuat keputusan menegnai keseimbangan yang sesuai antara privasi, inovasi dan penggunaan data. Semua peraturan itu perlu ditetapkan sendiri oleh masyarakat dan juga Parlimen,” kata Menteri Digital, Budaya, Media dan Sukan British, Matt Hancock dalam satu wawancara dengan BBC Radio.

    Kenyataan media Zuckerberg setakat ini tidak memuaskan hati pembuat dasar dari kedua-dua parti di Washington, yang minggu ini mendesak bilionair itu agar memberi keterangan di hadapan sidang Kongres. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Pelabur, Pembuat Dasar Dan Pengiklan Beri Tekanan Kepada Facebook "