• Pekerja kilang putus dua jari akibat ditetak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+


    BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki putus dua jari tangan kanannya akibat ditetak sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang, dalam kejadian dekat Flat Terubok, Seberang Jaya di sini.

    Dalam kejadian jam 3.30 petang Sabtu itu, mangsa yang juga pekerja kilang berusia 40 tahun, putus jari kelingking dan manis tangan kanan selepas ditetak dalam pergelutan di kawasan tempat letak kereta perumahan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata siasatan polis mendapati tiga suspek yang dikenali mangsa itu, datang ke situ dengan menaiki kereta.

    Beliau berkata, seorang daripada suspek membawa sebilah parang sepanjang 24 sentimeter (cm) sebelum mereka menetak mangsa.

    "Dalam pergelutan yang berlaku, mangsa cuba menepis tetakan parang menyebabkan pergelangan tangan kanannya cedera parah sehingga putus urat," katanya.

    Nik Ros Azhan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan susulan laporan yang dibuat abang mangsa, polis berjaya mengesan sebelum menangkap suspek beberapa jam selepas serangan itu di sebuah rumah dekat Taman Villa Mutiara.

    Beliau berkata, mangsa mengenali seorang daripada suspek yang dipercayai pernah bersekolah bersamanya.

    Katanya, suspek berusia 18 hingga 37 tahun itu kini dalam tahanan reman selama enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan mengggunakan senaa.

    "Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah, manakala mangsa mempunyai enam rekod jenayah lampau," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja kilang putus dua jari akibat ditetak "