• Pejabat DUN Bugaya bantu 1,000 penerima BR1M buka akaun bank

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    SEMPORNA, 25 Mac (Bernama) -- Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan di sini akan membantu kira-kira 1,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuka akaun bank secara percuma bagi mempercepat penyaluran BR1M pada masa depan.

    Anggota DUN Bugaya yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata ini bagi mempermudah penerima terbabit khususnya yang tinggal di pulau memanfaatkan bantuan berkenaan.

    Seiring itu juga, beliau berkata satu kios Bank Simpanan Nasional (BSN) akan dibuka di Pulau Bum Bum yang dijangka diisytiharkan sebagai Daerah Kecil Semporna dalam tempoh terdekat.

    "Sekurang-kurangnya ada BSN di pulau itu dan adanya pejabat daerah kecil, dan agensi lain pasti akan merancakkan ekonomi di pulau itu dan pewujudan bank itu selari," katanya selepas menyempurnakan penyerahan BR1M kepada penerima di sini hari ini.

    Sementara itu, Ramlee berkata sebuah pasar ikan bernilai kira-kira RM300,000 akan dibina di Kampung Bangau-Bangau yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dan juga kampung sekitar.

    "Saya dalam peringkat menyusun keperluan penduduk di kampung itu termasuk baik pulih jambatan dan peruntukan perkara ini saya akan pohon," katanya lagi

    Selain itu, beliau berkata rumah transit mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau akan dibaik pulih termasuk menambah prasarana asas bagi menampung keperluan lebih 300 penduduk yang mendiami petempatan tersebut.

    --BERNAMA
  • No Comment to " Pejabat DUN Bugaya bantu 1,000 penerima BR1M buka akaun bank "