• PBB kritik kenyataan ketua tentera Myanmar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+


    NEW YORK : Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengkritik kenyataan dibuat ketua tentera Myanmar yang berkata etnik Rohingya tidak memiliki sebarang persamaan dengan kumpulan etnik lain di negara itu.

    Menurut beliau, kenyataan dibuat Jeneral U Min Aung Hlaing pada satu perhimpunan tentera itu amat mengejutkan, justeru semua pemimpin Myanmar digesa bersatu bagi menentang sebarang unsur kebencian dan mempromosikan kehidupan berbilang budaya yang harmoni.

    Hlaing pada satu perhimpunan di utara negeri Kachin, semalam merujuk etnik Rohingya sebagai 'Benggali' iaitu istilah yang diguna pakai untuk menggambarkan mereka sebagai orang asing dan berkata, kaum berkenaan tidak memiliki sebarang persamaan dengan etnik lain di Myanmar.

    "Ketegangan di Myanmar semakin bertambah kerana Benggali ini menuntut kerakyatan," kata jeneral itu seperti dilaporkan oleh Dhaka Tribune.

    Guterres berkata, terdapat keperluan yang amat kritikal untuk memastikan semua pendatang Rohingya boleh pulang ke negara asal mereka dengan selamat, bermaruah dan sukarela.

    Majlis Keselamatan PBB sedang menunggu lampu hijau dari pihak berkuasa Myanmar untuk melihat sendiri krisis pelarian etnik Rohingya tetapi sehingga kini masih belum beroleh sebarang jawapan.

    Guterres sejak beberapa bulan lalu sedang menimbang kemungkinan untuk melantik wakil khas bagi Myanmar yang dipercayai mampu mengenengahkan masalah menyelubungi etnik Rohingya di peringkat antarabangsa. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " PBB kritik kenyataan ketua tentera Myanmar "