• Pasangan Berkahwin Belum Dikurniakan Anak Jangan Malu Dapatkan Rawatan

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    SHAH ALAM: Pasangan yang belum dikurniakan zuriat setelah lama berkahwin dinasihatkan agar tidak menunggu terlalu lama bagi mendapatkan rawatan kesuburan.

    Pengasas Metro IVF Sdn Bhd (Metro IVF), Dr Tee Swi Peng berkata berdasarkan pengalamannya sebagai perunding kesuburan, faktor utama pasangan lewat mendapatkan rawatan kesuburan sebahagian besar kerana sifat golongan lelaki yang malu untuk tampil ke hadapan.

    "Wanita ialah golongan yang awal sekali tampil ke klinik bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai kesuburan, tetapi klinik hanya dapat memberi nasihat yang tepat jika suami isteri hadir ke klinik.

    "Jadi, suami tidak perlu malu, jika lebih awal pasangan tampil minta nasihat dan rawatan, peluang untuk dapat anak akan lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

    Dr Tee ditemui pada majlis sambutan hari lahir pertama bayi tabung uji (IVF) bagi 10 bayi IVF di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Sabtu.

    Pada majlis berkenaan juga, Metro IVF mengumumkan pembukaan Klinik Wanita Mey di Pusat Komersil Star Avenue di Seksyen U5 di sini.

    Klinik berkenaan yang ditubuhkan melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA menawarkan rawatan awal dan khidmat nasihat kesuburan kepada pasangan yang berminat sebelum merujuk mereka ke Metro IVF bagi rawatan selanjutnya.

    Sementara itu, seorang pelanggan Metro IVF, Adam Salleh, 40, berkata beliau dan isterinya mendapatkan rawatan di Metro IVF selepas tujuh tahun berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata.

    "Doktor dan kakitangan di sini memang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing, saya nasihatkan pasangan lain supaya jangan takut dan tampil awal jika masih tidak dikurniakan anak selepas lama berkahwin, ini sebagai ikhtiar kita," katanya yang kini mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 bulan.

    - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pasangan Berkahwin Belum Dikurniakan Anak Jangan Malu Dapatkan Rawatan "