• Parodi anak Malaysia gapai dunia

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Ketika Aiman Sany Mohd Ikhsan mengajak beberapa rakannya melakonkan semula trailer filem hebat Marvel 'Infinity War', rancangannya cuma untuk tontonan rakan dan ahli keluarga.

    Penghasilan klip video dua minit 20 saat itu itu sepatutnya dihantar bagi tugasan Bahasa Inggeris, namun bukan untuk penggredan.

    Aiman Sany memuat naik klip video berkenaan kelmarin dengan mesej khusus kepada @MarvelStudios: who did it better? (Siapa yang lebih bagus?)

    Tanpa disangka, parodi yang dihasilkan dalam lima hari menggunakan telefon bimbit itu mendapat perhatian dunia, khususnya peminat filem adaptasi komik Marvel.

    Ia termasuk dua beradik yang juga pengarah terkemuka Hollywood, Anthony dan Joe Russo.

    Kedua-duanya terkenal menerusi filem hit berdasarkan komik Marvel seperti Captain America: Winter Soldier, Captain America: Civil War dan Infinity War yang bakal ditayangkan.



    Dalam nada berjenaka, pengarah terkemuka itu menerusi akaun @Russo_Brothers menulis: "Aiman. You guys are geniuses. Are you available to direct Avengers 5?" (Aiman. Anda semua adalah genius. Anda berkelapangan mengarah Avengers 5?)

    Setakat jam 7.30 malam tadi, klip video yang dimuat naik Aiman Sany kelmarin menerusi akaun @awesomerawks itu mendapat 1.8 juta tontonan, hampir 58,000 retweet dan kira-kira 86,000 likes, selain lebih 1,500 komen.

    Tanpa modal besar, Aiman Sany dan rakannya nyata memiliki daya kreativiti tinggi dalam melakonkan babak mirip trailer Infinity War, menggunakan prop seperti pinggan, penyepit kain dan paling menonjol pastinya bijirin Koko Krunch!

    Bakal mencecah usia 20 tahun, Aiman Sany dan rakannya yang juga penuntut jurusan kejuruteraan Kolej MARA Seremban, menyifatkan pengalaman baharu ini sebagai menakjubkan.

    "Kami peminat watak Marvel. Kami siapkan parodi itu dalam empat, lima hari termasuk berjaga sepanjang malam untuk suntingan terakhir.

    "Idea kreatif datang mencurah-curah ketika kami memutuskan untuk melakonkan semula trailer itu," katanya dihubungi akhbar NSTP menerusi panggilan video, semalam.

    Parodi itu memaparkan petikan suara asal, namun lakonan semula menggunakan penyepit kain sebagai Infinity Stones dan pinggan menggantikan kesan sumpahan Doctor Strange.

    Ketiadaan bajet untuk pengimejan berkomputer (CGI) diatasi dengan sehelai kertas hijau dilimpahi bijirin Koko Krunch bagi kesan lautan perwira bertempur di medan perang.

    Aiman Sany melakonkan dua watak iaitu Black Widow dan Thor.

    "Kami saling memberi idea untuk menjayakan setiap babak. Saya buntu mencari rambut palsu perang, tiba-tiba saya terlihat selimut kuning rakan sebilik dan terus mencapainya!

    "Ada babak yang agak sukar dilakukan kerana memerlukan pencahayaan semula jadi atau suasana gelap.

    Pada masa sama, kami terpaksa menghadiri kelas," katanya.

    Aiman Sany mengakui mereka terkejut apabila klip video itu tersebar dengan pantas menerusi media sosial.

    "Ramai rakan meminta kami membuat lebih banyak klip seperti itu, tapi kami perlukan sokongan dan bajet. Oh, Malaysia Boleh!" katanya mengakhiri perbualan.

    Klip itu dijayakan bersama Amir Haziq Rosthman, Umar Muhammad, Ammarul Mubsyir Anandzachery, Khairi Abu Bakar, Farhan Mirza Basir Ul Elmi, Khafiz Khairul Anwar, Khalis Ariff Mustapha Reza, Mohd Ariff Arshad Zulkifflee, Salman Muhammad Noor Azri, Adam Muqhriz Nor Iskandar Shah dan Luqmanul Hakim Azli.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Parodi anak Malaysia gapai dunia "