• Parlimen: 411 pelajar sekolah menengah dikesan positif dadah

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+



    KUALA LUMPUR: Seramai 411 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dikesan positif dadah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 403 kes dikesan melalui hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala lapan kes melibatkan tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    "Kebanyakan kes dadah terjadi di luar kawasan sekolah?tetapi kita mengenal pasti golongan (pelajar) berisiko tinggi ini dan kita lakukan ujian air kencing dengan AADK di sekolah."

    "Jika pelajar didapati positif, kita akan laksana program (pemulihan) selama tiga bulan bersama AADK dan kemudiannya kita akan buat susulan. Jika pelajar itu masih lagi positif, kita akan kuatkuasakan permuafakatan disiplin menerusi jawatankuasa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah," katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan dalam mengatasi masalah penggunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

    Chong berkata kerjasama dan sokongan semua pihak adalah perlu dalam membanteras penggunaan dadah dalam kalangan pelajar.

    Menjawab soalan asal Abdul Azeez yang ingin tahu statistik pelajar yang dibuang sekolah dari tahun 2014 hingga 2016, Chong berkata hukuman buang sekolah merupakan alternatif terakhir yang diambil pihak sekolah untuk pelajar yang terlibat dalam salah laku disiplin.

    "Berdasarkan rekod Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), daripada keseluruhan jumlah pelajar, sebanyak 0.04 peratus pelajar dibuang sekolah pada 2014, 0.03 peratus pada 2015 dan 0.01 peratus pada 2016."

    "Kebanyakan pelajar yang dibuang sekolah terlibat dalam kes ponteng sekolah. Di bawah pekeliling, seseorang pelajar yang didapati ponteng secara berterusan melebihi 30 hari atau pelajar yang ponteng secara berkala selama 60 hari akan dibuang sekolah," katanya.

    Bagaimanapun, ibu bapa boleh memohon semula untuk mempertimbangkan kemasukan anak mereka ke sekolah dalam tempoh sebulan.

    "Saya tegaskan, setelah ibu bapa memohon untuk anak masuk semula ke sekolah, mesti diluluskan sebab buang sekolah ini hanya untuk pengajaran," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Parlimen: 411 pelajar sekolah menengah dikesan positif dadah "