• Panik Anak Terperangkap, Ustaz Don Turut Bantu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+

    Tular di media sosial sejak semalam apabila satu video menyaksikan seorang ibu panik apabila keretanya terkunci dari dalam ketika anak perempuannya sedang tidur di dalam kereta.

    Tidak dinyatakan di mana lokasi kejadian tersebut namun berdasarkan video berkenaan, ia mungkin berlaku dekat pintu masuk Kolej Universti Islam Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.

    Menurut rakaman video berkenaan, budak perempuan yang dikenali sebagai Iman itu telah selamat dengan bantuan orang awam.

    Malah, secara kebetulan penceramah bebas yang juga pensyarah KUIS, Ustaz Don Daniyal turut berada di lokasi kejadian serta bersama-sama orang awam untuk membantu wanita tersebut.

    “Mak dia mana mak dia? Mak dia mari dekat sini,” kata Ustaz Don.

    Mereka mula mengetuk tingkap pintu serta menggoyangkan kereta berkenaan supaya kanak-kanak itu terjaga tetapi tiada tindas balas.

    Kelihatan seperti kejadian itu terjadi selepas waktu persekolahan yang kemungkinan kanak-kanak itu keletihan selepas menghadiri sesi persekolahan.

    Bagaimanapun, video yang tular itu telah mendapat kecaman daripada banyak pihak yang menganggap wanita itu sangat cuai serta lebih sayangkan kereta berbanding nyawa anaknya sendiri.

    Netizen mengkritik tindakan wanita berkenaan yang tidak menyuruh orang awam memecahkan cermin di bahagian pintu belakang supaya anaknya dapat diselamatkan.

    Dia hanya mampu menjerit sambil mengetuk tingkap di tempat duduk sebelah pemandu serta memanggil nama anaknya dengan harapan kanak-kanak itu dapat terjaga daripada tidurnya yang lena.

    Mujurlah kejadian itu disaksikan oleh ramai orang awam yang dapat membantu wanita itu sehingga anak kecilnya tersedar dari tidur dan pintu kereta turut telah dibuka.

    Dalam masa yang sama, ramai netizen melahirkan rasa kecewa dengan kebanyakan ibu bapa yang memandang ringan tentang kejadian seperti itu kerana ia sering berlaku di mana-mana sahaja.

    Ibu bapa turut sering dinasihatkan supaya tidak meninggalkan anak kecil mereka di dalam kenderaan kerana khuatir berlaku perkara yang tidak diingini. – MYNEWSHUB.CC/AH

    Subjects:

  • No Comment to " Panik Anak Terperangkap, Ustaz Don Turut Bantu "