• Panik, 2 Anak 'Terperangkap' Dalam Kereta

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    Lelaki cemas selepas dua anaknya terkunci di dalam kereta ketika dia sedang membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Seri Manjung, Manjung, malam tadi.

    Difahamkan, bapa berkenaan yang panik cuba membuka kereta terbabit dengan bantuan orang ramai, namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.25 malam.

    Menurutnya, kejadian itu membabitkan kanak-kanak lelaki, 7, dan adik perempuannya, 2.

    Katanya, dua beradik itu ditinggalkan dalam kereta Toyota Altis dalam keadaan enjin masih hidup, sementara bapa mereka membeli makanan manakala ibu pula berada di hospital.

    “Bapa mangsa berpesan kepada anak lelakinya menunggu bersama adiknya di dalam kereta dan mengunci pintu, sementara dia membeli makanan.

    “Kanak-kanak lelaki itu kemudian tertidur dan biarpun sudah dikejutkan dan pintu diketuk, namun dia masih tidak sedar sehingga bomba berjaya membuka pintu kereta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka tingkap kereta berkenaan dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat.

    Katanya, operasi tamat pada 11 malam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Panik, 2 Anak 'Terperangkap' Dalam Kereta "