• 'Pagarkan' Telok Melano Daripada Menjadi Pintu Keluar Masuk Dadah Ke Indonesia

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi mahu pihak polis mengadakan pemantauan lebih rapi dan ketat terhadap tindakan segelintir pihak menggunakan Telok Melano dan kawasan sekitarnya sebagai ‘pintu masuk’ penyeludupan dadah ke negara jiran.

    Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan baru-baru ini bahawa telah wujudnya kecenderungan ini, dan terbukti dengan kejayaan pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima lelaki dipercayai ‘keldai dadah’ yang cuba membawa keluar 5kg dadah bernilai lebih RM1.4 juta.

    “Yang saya bimbang, kawasan yang saya anggap sebagai pekan sempadan ini akan terdedah kepada ancamam baharu ini.

    “Ia kini memiliki infrastruktur yang baik biarpun Lebuh Raya Pan Borneo belum siap sepenuhnya.

    “Telah ada maklumat daripada pihak kampung dan orang tertentu yang memberitahu bahawa gerakan-gerakan penyeludupan dadah telah berlaku di kawasan ini.

    “Justeru saya meminta pihak polis membuat risikan, tindakan dan pemantauan rapi di kawasan ini kerana saya bimbang apa yang berlaku di Sungai Golok dan Rantau Panjang, Kelantan akan menular di sini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kecemasan Parlimen P193 Santubong di sini pagi tadi.

    Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu memberitahu, jika tidak ditangani segera, kawasan ini berpotensi menjadi laluan keluar masuk dan transit dadah jenis metaphetamine atau syabu.

    “Kawasan sempadan kita begitu polos kerana mempunyai banyak laluan tikus malah lorong gajah hingga lori dan kereta boleh masuk.

    “Kesempatan ini akan digunakan oleh penyeludup ini apatah lagi dengan laluan darat yang lancar seperti Pan Borneo telah siap sepenuhnya.

    Wan Junaidi yang kini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar memberitahu, yang membimbangkannya ialah potensi untuk aktiviti jenayah ini mempengaruhi anak-anak muda setempat.

    “Ini yang berlaku di Kelantan dan keadaannya menjadi begitu teruk hingga mewujudkan situasi pihak tentera terpaksa mengambil alih tindakan penguatkuasaan.

    “Oleh itu, saya memohon ketegasan pihak polis melakukan pemantauan.

    Pada masa yang sama, katanya, tindakan tegas ini juga akan membantu negara jiran, Indonesia kerana mereka juga tidak mahu kemasukan dadah ini ke kawasan mereka, hingga menghambat rakyatnya baik di Sambas, Singkawang dan Pontianak.

    “Nama baik Malaysia mesti dijaga.

    “Usah biarkan mereka yang tidak bertanggungjawab ini berpetualang menyeludup dadah dan menjadikan negeri ini sebagai transit pengedaran dadah untuk negara ketiga.

    Kebanyakan dadah syabu ini dakwanya, masuk dari Filipina melalui pintu masuk utara Sarawak dan tembus ke Kalimantan melalui pintu tengah dan selatan Sarawak. –Sarawakvoice
  • No Comment to " 'Pagarkan' Telok Melano Daripada Menjadi Pintu Keluar Masuk Dadah Ke Indonesia "