• Ops Rabies: Polis Nafi Tak Sedia Perlindungan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+


    MIRI - Polis Sarawak hari ini menafikan dakwaan Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) bahawa mereka gagal menyediakan perlindungan kepada petugas barisan depan yang terlibat dalam operasi antirabies di negeri itu selain tidak bertindak terhadap laporan polis dibuat berhubung ancaman ke atas petugas terbabit.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya kesal dengan dakwaan SVA memandangkan setiap laporan polis diterima berhubung kes berkenaan disiasat secara terperinci.

    “Saya sendiri melihat perkara ini dan pada 7 Januari lalu, dua pengguna media sosial ditahan polis di Padawan kerana mengeluarkan ancaman terhadap petugas perkhidmatan veterinar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Malah menurutnya, polis kini menyiasat dua laporan polis yang dibuat di Samarahan dan Miri semalam serta akan menangkap suspek sebaik sahaja mereka dikenal pasti.

    Pada masa sama, Dev berkata, polis akan menyediakan perlindungan secukupnya kepada petugas terlibat dalam operasi cegah rabies jika dimaklumkan lebih awal.

    “Jika polis tidak dimaklumkan lebih awal berhubung sebarang operasi cegah rabies, jangan salahkan kami jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya menambah polis tidak boleh membuat tangkapan semata-mata ada invidu mengeluarkan kata-kata cacian.

    Katanya tindakan hanya diambil jika ancaman dikeluarkan itu bersifat jenayah dan mangsa membuat laporan polis.

    Dalam pada itu beliau berkata, polis terbuka untuk berbincang dengan pihak berkaitan termasuk SVA bagi menambah baik aspek keselamatan semasa operasi cegah rabies diadakan.

    “Pendekatan ini lebih baik berbanding menyerang polis menerusi media,” katanya.

    Beliau mengulas laporan media hari ini yang memetik Presiden SVA Dr Chuo Hock Tieng yang berkata SVA kecewa dengan ketiadaan perlindungan polis semasa operasi selain tiada tindakan diambil berhubung laporan polis yang dibuat oleh petugas yang menerima ancaman bunuh dan juga bom.- Bernama
  • No Comment to " Ops Rabies: Polis Nafi Tak Sedia Perlindungan "