• NHRAP Penuhi Aspirasi Rakyat - PM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia.

    Perdana Menteri berkata, dokumen awam itu dihasilkan selari agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), termasuk aspek mengumpulkan pandangan, maklum balas dan aspirasi rakyat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

    "Bagi mematuhi tujuan itu, NHRAP dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dengan merujuk kepada garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya berucap pada majlis pelancaran NHRAP di sini, hari ini.

    Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Paul Low Seng Kuan; Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

    Perdana Menteri berkata, lima teras utama digariskan dalam dokumen NHRAP iaitu hak sivil dan politik, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, hak golongan rentan, hak asasi manusia dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Pribumi Sarawak serta kewajipan antarabangsa.

    "Tiga mekanisme penting bakal dilaksanakan sepanjang pelaksanaan NHRAP iaitu membangunkan aplikasi mudah alih, menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi dan melantik pihak berkecuali bersesuaian untuk mengumpul maklum balas awam.

    "Kejayaan NHRAP bergantung kepada sejauh mana pelaksanaan berkesan dapat direalisasikan di segenap peringkat oleh agensi pelaksana mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

    Sementara itu, Azalina berkata, NHRAP turut menyenaraikan pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia dan menggariskan pelan tindakan terperinci untuk dilaksanakan dalam mempromosi serta melindungi hak asasi manusia di negara ini.

    "NHRAP Malaysia berjaya dibangunkan dengan 294 pelan tindakan yang merangkumi 83 isu keutamaan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " NHRAP Penuhi Aspirasi Rakyat - PM "