• Negara Bankrap: Satu Pembohongan Pembangkang – Najib

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan dan tuduhan yang dijaja pembangkang mengatakan negara akan menjadi sebuah negara bankrap adalah pembohongan semata-mata yang bertujuan untuk memburukkan kerajaan.

    Perdana Menteri berkata, tuduhan dibuat oleh pembangkang tidak berasas sama sekali malah tidak disokong dengan fakta terhadap semua tuduhan yang dilontar mereka.

    “Kita tahu apa mereka kata di luar negara, sebenarnya apa yang mereka kata itu tidak ada asas, ia mesti berdasarkan kepada fakta.

    “Apa yang saya katakan, jawapan saya dalam dewan ini adalah berasaskan kepada fakta yang telah pun disahkan badan seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan sebagainya… jadi ada pihak kata Malaysia ini bankrap, fail state ke, itu adalah satu pembohongan yang jelas,” kata beliau semasa sesi Dewan Rakyat hari ini.

    Terdahulu, Najib menjelaskan prestasi ekonomi yang dicatat negara tahun lalu merupakan antara yang terbaik dalam dunia berbanding negara-negara lain, malah ia melepasi sasaran yang diletak kerajaan.

    “Pada 2017, kita mencatat pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus, yakni yang paling tinggi sejak krisis subprima tahun 2009, malah lebih tinggi daripada sasaran 5.2 peratus hingga 5.7 peratus dan ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

    “Malahan menerusi laporan terkini MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) 2017, Malaysia terus menerima pelaburan masuk dari dalam dan luar yang berjumlah RM197.1 bilion berbanding hanya RM105.5 bilion pada 2010,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Najib berkata, rizab antarabangsa negara juga berada pada tahap yang kukuh selain mata wang ringgit yang semakin kuat berbanding dolar Amerika.

    “Bahkan terkini, rizab antarabangsa negara mencatat RM419.5 bilion pada 28 Februari 2018, manakala kadar tukaran wang ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika telah meningkat nilainya daripada RM4.48 pada Disember 2016 kepada RM3.92 pada 28 Februari 2018 untuk setiap dolar,” katanya lagi.

    Selain itu, Najib juga menjelaskan tahap hutang negara yang masih terurus berada pada paras 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Merujuk tahap hutang kerajaan pula, kekal tidak melebihi 55% daripada KDNK self imposed limit, kini tahap hutang negara hanya berada pada paras 50.8 peratus daripada KDNK.

    “Ini bermakna kedudukan hutang kita masih terurus dan Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana sedangkan jika nak dibandingkan dengan beberapa negara maju dimana hutang kerajaannya berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga ada melebihi 200 peratus,” ujarnya. – theRakyat

    Subjects:

  • No Comment to " Negara Bankrap: Satu Pembohongan Pembangkang – Najib "