• Najib Tutup Ekspo Terengganu 2018

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+


    KUALA NERUS – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan majlis penutup Ekspo Terengganu ‘Molek Doh’ di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.

    Najib diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan seluruh barisan kepimpinan negeri.

    Najib dan rombongan tiba di tapak ekspo dengan menaiki bas MyBAS dan seterusnya bergerak ke Tapak Jualan Sentuhan Rakyat.

    Di tapak jualan Najib berkesempatan menyaksikan orang ramai membeli barangan keperluan harian seperti bawang, gula, beras dan minyak masak dengan harga yang lebih rendah di pasaran selama 30 minit.

    Perdana Menteri kemudian bergerak ke pavilion dan melawat pameran yang merangkumi kluster kerajaan negeri, dewan teater dan Dataran Shahbandar sebelum menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara anak syarikat kerajaan negeri dengan firma-firma yang terlibat dalam projek pembangunan di Terengganu. — LAGI

    Firma-firma yang terlibat ialah Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

    Firma lain termasuk Terengganu Sillica Valley Development Committee (TESVAC), Petronas, TIM Group Resources Sdn Bhd dan Terengganu International Industrial Park (TIIP).

    Najib bersama rombongan kemudian meraikan ulang tahun sambutan ECERDC yang ke-10 di tapak pameran sebelum bergerak ke pentas utama bagi menyempurnakan majlis penutup ekspo.

    Selepas ucapan penutup, di pentas yang sama Najib menyampaikan cek cura kepada Razif bagi bayaran sekali gus untuk disampaikan kepada imam, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain dan kepada Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim untuk bayaran sekali gus kepada jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah.

    Najib turut berkesempatan menyerahkan surat tawaran kepada peserta Program Transformasi Graduan Terengganu, bantuan dana insentif kepada pemandu teksi dan bas henti-henti, Surat Tawaran Skim Khas Rancangan Tanah berkelompok (RTB) tapak rumah 2017 dan menyerahkan cek cura Bantuan Pengurusan J3K kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Mohd Akil Mat.

    Beliau kemudian bersama rombongan bergerak ke Stadium Tertutup Gong Badak bagi menyaksikan majlis perkahwinan Perdana TTB dan menikmati jamuan makan bersama 111 pasangan pengantin sebelum berangkat meninggalkan majlis. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Tutup Ekspo Terengganu 2018 "