• Nahas Bas Di Mekah, Jemaah Umrah Warga Singapura Maut

    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+

    SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura maut dan beberapa penumpang cedera dalam nahas bas ketika dalam perjalanan di Mekah pada Selasa, menurut Majlis Agama Islam Singapura (MUIS).

    Menerusi maklumat terkini dalam Facebook, MUIS berkata antara 1 hingga 1.30 tengah hari (8.30 pagi hingga 9 pagi waktu Arab Saudi), bas yang membawa 31 penumpang jemaah umrah terbabit dalam kemalangan.

    MUIS berkata, para penumpang tersebut difahamkan ialah jemaah umrah yang diuruskan oleh agensi pelancongan tempatan, Abu Bakar Travel Services Private Limited.

    "Kebanyakan penumpang ialah rakyat Singapura," kata MUIS dan menambah mereka yang cedera telah dihantar ke hospital di Mekah untuk menerima rawatan.

    MUIS berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat.

    Sementara itu, Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS) telah menyampaikan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Abu Bakar Osman.

    "PERGAS berasa dukacita apabila dimaklumkan mengenai pemergian Ustaz Mohd Abu Bakar Osman," katanya dalam catatan menerusi Facebook.

    Bernama difahamkan bahawa Allahyarham Mohd Abu Bakar ialah pengarah agensi pelancongan itu.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam catatan menerusi Facebook beliau telah melahirkan simpati yang mendalam kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

    "Amat berdukacita apabila dimaklumkan mengenai nahas bas di Mekah, Arab Saudi yang menyebabkan seorang rakyat Singapura maut dan beberapa orang cedera," kata beliau dalam catatan itu.-- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nahas Bas Di Mekah, Jemaah Umrah Warga Singapura Maut "