• Musa Puji MPWS Perkasa Wanita Sabah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU – Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman memuji inisiatif Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) memperkenal tiga projek penting sebagai usaha memperkasa pembangunan wanita di negeri ini.

    Beliau berkata tiga projek berkenaan iaitu pembangunan keusahawanan; Pusat Bantuan Guaman Wanita; serta Buku Manual Interaktif Perkahwinan Kanak-kanak; dilihat mampu melonjak potensi wanita sekali gus memastikan hak serta kebajikan golongan itu terus terpelihara.

    “Saya dimaklumkan MPWS sesi 2017-2019 telah memainkan peranan penting ke arah memperkasa wanita, dengan tiga projek dikemukakan kepada saya pada Julai 2017 dan kini sudah bermula.

    “Perkembangan positif ini dengan jelas memberi gambaran bahawa wanita berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita Sabah, di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor.

    Mengulas lanjut, Musa berkata Pusat Bantuan Guaman Wanita, yang beroperasi 2 Januari lepas, telah menerima 14 kes berkaitan dan telah menyelesaikan serta menangani satu pertiga daripada kes itu.

    Bagi Buku Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-kanak, Musa berkata beliau dimaklumkan advokasi dan latihan untuk kaunselor akan bermula April ini.

    Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata penerbitan buku modul itu akan digunakan oleh warga pendidik serta fasilitator bagi mengelakkan perkahwinan gadis pada usia muda.

    Dalam perkembangan lain, Jainab berkata MPWS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sedang dalam proses merangka Pelan Pembangunan Lapan Tahun Wanita Sabah bagi menggantikan pelan 10 tahun yang tamat tempoh tahun lepas.

    Jainab berkata pelan pembangunan itu akan menambah lagi beberapa agenda selain tujuh sebelum ini, antara lain merangkumi wanita dalam politik dan pembuat keputusan.

    Pada majlis itu, Hajiji turut mewakili Musa merasmikan Pusat Bantuan Guaman Wanita dan melancarkan Buku Manual Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak berkenaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Musa Puji MPWS Perkasa Wanita Sabah "