• MISC Akan Bantu Siasatan SPRM

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa bernilai lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta) membabitkan kakitangan syarikat itu.

    MISC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah guna kuasa dan rasuah oleh kakitangan, anak syarikat atau mana-mana pihak yang mewakili syarikat itu.

    "MISC komited sepenuhnya terhadap piawaian integriti dan akauntabiliti yang tertinggi sepanjang operasi perniagaan kami.

    "Syarikat ini mematuhi etika perniagaan dan etika perniagaan Kumpulan MISC serta dasar selain garis panduan antirasuah dan salah guna kuasa," kata kenyataan itu.

    Dalam laporan akhbar hari ini, kakitangan sebuah syarikat perkapalan tempatan disiasat SPRM kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta).

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat ada pegawai di syarikat perkapalan itu disyaki bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja penyelenggaraan kapal milik syarikat berkenaan.

    Bagaimanapun kerja penyelenggaraan itu tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

    Antara dakwaan disiasat adalah tuntutan bayaran kos pembaikan kapal tangki bernilai AS$15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanya AS$7.9 juta (RM30.8 juta).

    Selain itu SPRM turut melakukan siasatan dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses perlantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan ditetapkan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " MISC Akan Bantu Siasatan SPRM "