• Minda Kreatif Akan Terajui Sarawak Lebih Cemerlang

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    KUCHING – Generasi muda di Sarawak perlu berfikir secara kreatif untuk membolehkan negeri ini muncul antara negeri yang paling maju, berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata kreativiti akan membolehkan seseorang itu melakukan perubahan dan untuk membuat perubahan, generasi muda perlu melengkapi diri mereka dengan teknologi baharu atau akan ketinggalan.

    “Di saat anda mengimpikan sesuatu, ia akan menjadi insentif untuk anda mencari jalan dan kaedah untuk mencapai impian itu.

    “Pemikiran destruktif akan membawa diri anda untuk menjadi lebih kreatif, yang bermaksud menjadi normal adalah norma atau perkara biasa dan kita perlu mencari kaedah baharu untuk keluar daripada norma itu. Sebab itu saya tekankan pada pendigitalan untuk mengubah cara orang bekerja dan hidup,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada perasmian Pameran Kerjaya & Latihan Sarawak (Pameran SCaT 2018) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan negeri Datuk Seri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

    “Saya berharap pada Pameran SCaT, golongan muda bersedia dengan cara baharu ekosistem bekerja,” kata Abang Johari.

    Sebanyak 153 pempamer mengambil bahagian dalam Pameran SCaT 2018, pameran tahunan terbesar di Sarawak yang diadakan sejak 2012, berobjektif menawarkan peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan kepada siswazah dan lepasan sekolah di satu tempat. – BERNAMA
  • No Comment to " Minda Kreatif Akan Terajui Sarawak Lebih Cemerlang "