• Mengamuk Gagal Keluar Wang ATM

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    Gara-gara tidak dapat mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seorang lelaki merosakkan siling sebuah bank di Jalan Sultan Yahya Petra di Kuala Krai, hari ini.

    Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental itu turut membuang air besar di belakang sebuah mesin ATM selain menarik kabel mesin itu dan kamera litar tertutup (CCTV).

    Difahamkan ketika ditahan lelaki itu berada dalam keadaan separuh bogel dengan hanya memakai jaket.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati, sehari sebelum kejadian, suspek menaiki kereta api dari Tumpat ke Pahang dan terpaksa berhenti di Kuala Krai kerana tiada wang untuk membeli tiket.

    "Suspek kemudian merayau di sekitar bandar ini dan meminta wang daripada orang ramai namun gagal.

    "Pada jam 6.30 pagi ini, suspek ke mesin ATM di sebuah bank namun tidak dapat membuat pengeluaran bank sebelum dia memecahkan siling selain menarik kabel mesin dan CCTV.

    "Suspek juga membuang air besar di belakang sebuah mesin ATM," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, sebaik menerima maklumat kejadian itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

    "Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui suspek di belakang sebuah mesin ATM itu dan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 448 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.

    Sementara saksi kejadian, yang mahu dikenali sebagai Man, 28, berkata, apabila sampai di bank terbabit dia terkejut melihat beberapa orang awam berada di luar premis itu.

    "Melalui pintu bank, saya nampak dengan jelas bahagian siling bank terbabit pecah.

    "Seorang lelaki yang berada di lokasi kemudian menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Krai untuk memaklumkan berkenaan kejadian itu sebelum anggota peronda sampai tidak lama kemudian," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mengamuk Gagal Keluar Wang ATM "