• Mayat Sangkut Batu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+

    AMPANG: “Arwah suka membantu penduduk setempat, gotong-royong mengemas dan membersihkan rumah jiran terutama selepas banjir,” kata Sallep Seman, 48, abang tiri mangsa lemas di Sungai Hulu Langat, di sini. Dalam kejadian jam 5.30 petang Jumaat lalu, mangsa, Abd Syukur Abd Talib, 23, dihanyutkan kepala air di sungai itu dan mayatnya ditemui tersangkut pada batu jam 10 pagi semalam.

    Sallep berkata, arwah memegang prinsip hidup berjiran tidak mengenal erti rehat walaupun selepas seharian bekerja di sebuah restoran makanan segera 24 jam di sini.

    Katanya, sifat murni adik tirinya itu sentiasa menjadi teladan dan ikutan adik-beradiknya yang lain.

    “Arwah bekerja di sebuah restoran makanan segera 24 jam, kadangkala meluangkan masa bermain futsal bersama rakannya, namun masih ‘mencuri’ masa untuk membantu penduduk kampung.

    “Dia tidak mengira latar belakang individu, yang mana memerlukan pertolongan dia akan tampil menawarkan khidmat.

    “Ini keperibadian arwah yang saya rasa akan menjadi memori indah kepada kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, mayat mangsa ditemui orang awam tersangkut pada batu kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan tergelincir ke dalam sungai.

    Katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai membantu penduduk membersihkan kawasan rumah berdekatan lokasi sebelum terjatuh.

    “Antara agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Sangkut Batu "