• Mayat Bayi Cukup Sifat Tersangkut Pada Loji Rawatan Kumbahan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    Mayat bayi cukup sifat ditemui tersangkut di loji rawatan kumbahan dekat Hentian Sebelah Kulai arah selatan, di sini, hari ini.

    Mayat dipercayai bayi lelaki itu ditemui kontraktor pembersihan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) yang ke loji berkenaan untuk menjalankan kerja pembersihan.

    Menurut petugas pembersihan di hentian rehat itu yang enggan dikenali, dia tiba di lokasi berkenaan untuk memulakan tugas pada 6.30 pagi, namun tiada perkara mencurigakan berlaku ketika itu.

    "Saya hanya dimaklumkan oleh kontraktor yang datang ke loji untuk membuat kerja pembersihan tentang penemuan bayi itu.

    "Pada mulanya saya fikir bayi hidup, tetapi saya terkejut melihat mayat bayi itu yang sudah tersangkut dalam loji," katanya ketika ditemui di hentian rehat berkenaan di sini, hari ini.

    Dia yang bertugas hampir 11 tahun di hentian rehat itu berkata, ini kejadian pertama yang dilaporkan berlaku di lokasi itu.

    Katanya, tandas wanita hentian rehat itu juga berada dalam keadaan baik sejak pagi tadi dan tiada perkara pelik berlaku di tandas berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kontraktor PROPEL berhubung penemuan mayat bayi itu pada 11.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    "Siasatan awal mendapati mayat bayi lelaki itu cukup sifat dan dianggarkan berusia enam bulan.

    "Mayat bayi berkenaan sudah dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMI) di sini, untuk bedah siasat," katanya.

    Menurut beliau, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan ibu bayi berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Bayi Cukup Sifat Tersangkut Pada Loji Rawatan Kumbahan "