• Mawan Dedah Keahliannya Sebagai Ahli PBB

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom mendedahkan beliau merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    Katanya, ia sekali gus menamatkan spekulasi mengenai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang beliau sertai sejak 2016 itu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN dan PBB mengenai statusnya sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

    “Saya akan menghormati keputusan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

    Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan telah membuat pendedahan tersebut selang sehari selepas Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata BN tidak akan meletakkan calon langsung untuk bertanding dalam PRU14.

    Justeru, Mawan berkata ia adalah masa yang sesuai untuk beliau membuat pendedahan mengenai keahliannya dalam PBB kepada umum.

    “Saya telah menjadi ahli PBB sejak 2016. Nombor siri keahlian parti saya adalah 470000.

    “Pengambilan saya ke dalam parti itu adalah berikutan beberapa ketidakpastian berhubung status sesetengah calon mesra BN dalam Pilihan Raya Negeri 2016,” katanya.

    Mengulas mengenai statusnya sebagai calon dalam PRU14, Mawan yang merupakan bekas Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP kini PDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) menyerahkan kepada kepimpinan BN dan PBB.

    Beliau juga menegaskan akan menghormati apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti berhubung calon di Saratok. - Sarawakiana

  • No Comment to " Mawan Dedah Keahliannya Sebagai Ahli PBB "