• Manipulasi Wang RM1.24j

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    MELAKA: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas enam pertuduhan melakukan pengubahan wang haram RM1.24 juta, dua tahun lalu.

    Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Nasir Noordin.

    Zamrud dan Hazizul, masing-masing adalah bekas pegawai dan pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC).

    Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, mereka didakwa bersama-sama memindahkan wang dan menerima faedah berjumlah RM1.2 juta yang juga hasil daripada aktiviti haram milik syarikat Misdec Resources Sdn Bhd (MRSB) ke dua syarikat Digicity (M) Sdn Bhd dan I & R Precision Engineering Sdn Bhd bagi tujuan peribadi.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di CIMB Bank Berhad, No 30 dan 32 Jalan Mutiara Melaka 2, Batu Berendam, sekitar 9 Oktober 2014 hingga 3 Ogos 2016.

    Bagi kesalahan itu, kedua-dua didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah aktiviti haram atau RM5 juta mengikut yang mana lebih tinggi.

    Sementara itu, Hazizul secara bersendirian berdepan pertuduhan sama memindahkan wang RM20,000 daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke akaun Maybank milik Misdec di alamat sama pada 14 April 2015.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan mengikut peruntukan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, namun bergantung kepada budi bicara mahkamah.

    Bagaimanapun, dua beranak itu yang diwakili peguam bela Azrul Zulkifli Stork merayu dibenarkan jaminan dengan alasan faktor usia Zamrud yang berusia 77 tahun dan sudah bersara manakala Hazizul masih berkhidmat sebagai Pegawai Khas MISDEC dan menanggung seorang anak kecil serta isteri yang sarat mengandung.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM100,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April depan untuk serahan dokumen.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Manipulasi Wang RM1.24j "