• Manifesto Pakatan Harapan terus dipersoal

    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 15 Mac - Pakatan Harapan diketuai DAP dilihat buntu untuk ‘melawan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya melibatkan sektor kesihatan apabila menawarkan rakyat Skim Peduli Sihat yang hanya mempunyai had maksimum RM500 setahun untuk ke klinik swasta.

    Skim yang sudah dilaksanakan di Selangor itu dilihat hanya akan menguntungkan klinik swasta sedangkan kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di hospital malah diwujudkan lagi Klinik 1Malaysia untuk kemudahan.

    Bukan itu sahaja, Skim Peduli Sihat juga boleh menggalakkan pembaziran serta ketirisan apabila pemegang kad Skim Peduli Sihat boleh sengaja memanfaatkan peluang yang ada dengan mendapatkan rawatan walaupun tiada keperluan mendesak semata-mata mahu menghabiskan had maksimum tersebut pada setiap hujung tahun.

    Sebagai rekod dalam Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan untuk kesihatan sebanyak RM27 bilion, lebih RM2 bilion daripada Bajet 2017 membuktikan bagaimana kerajaan tidak pernah berkompromi berkenaan hak rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan.

    Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr. Zubaidi Ahmad berkata, Skim Peduli Sihat tidak sesuai dijalankan di Malaysia yang sudah mempunyai banyak pusat kesihatan seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik 1Malaysia, Klinik Pergigian Kerajaan dan macam-macam pusat kesihatan yang disediakan untuk rakyat.

    “Daripada subsidi seperti itu, lebih bagus sekiranya ada cadangan untuk memberi subsidi kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas yang tiada pekerjaan dan keadaan kesihatan semakin menurun

    “Saya lihat Skim Peduli Sihat ini hanya beri kelebihan kepada pihak swasta sedangkan kita banyak kemudahan kerajaan yang boleh dimanfaatkan sekarang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

    Zubaidi berkata, meskipun kos ubatan dan peralatan dalam bidang kesihatan semakin meningkat secara global, Malaysia masih menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terendah di dunia kepada rakyatnya.

    “Meskipun ada kenaikan sedikit, ia masih murah jika dibandingkan dengan kos di hospital atau klinik swasta dan sekiranya ada tidak mampu untuk membayar, mereka boleh berjumpa dengan pegawai kebajikan yang ada di setiap hospital untuk budi bicara.

    “Malah kerajaan juga terus komited untuk memberi subsidi terutamanya bagi pesakit kelas tiga yang masih menerima 98 peratus subsidi bagi kos rawatan perubatan dan pergigian,” katanya. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Manifesto Pakatan Harapan terus dipersoal "