• Mangsa ditetak suami mati adalah palsu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Sunday, 11 March 2018
    A- A+


    KLANG - Pekerja kilang wanita yang ditularkan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook telah meninggal setelah menerima rawatan akibat ditetak suami sendiri adalah palsu.

    Kogila yang merupakan kakak kepada R. Komathi, 42, berkata, penularan maklumat tersebut adalah bohong semata-mata berikutan adiknya masih dalam keadaan selamat dan sihat.

    Katanya, suami mangsa yang merupakan suspek utama, N. Somoo, 37, merupakan seorang yang panas baran dan cemburu buta.

    "Enam bulan lalu, suspek telah memukul adik saya dengan sangat teruk sebelum membawanya ke rumah ibu saya.

    "Tindakan tersebut didorong rasa cemburu buta suspek terhadap mangsa yang dikatakan mempunyai lelaki lain," katanya menerusi sistem pesanan audio aplikasi WhatsApp.

    Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pekerja kilang terpaksa melalui mimpi ngeri apabila dia diseret sebelum ditetak menggunakan parang panjang oleh suami sendiri dipercayai akibat cemburu buta di hadapan sebuah kilang elektronik di Jalan Seruling 59, Taman Klang Jaya di sini, Khamis lalu.

    Kogila menambah, suspek kemudiannya ada meminta kepada Komathi untuk kembali kepadanya namun ditolak oleh mangsa.

    Ujarnya, mangsa hanya akan kembali kepada suspek sekiranya suaminya itu telah mengubah kelakuannya.

    "Bagaimanapun, pada hari kejadian suspek dikatakan berjumpa dengan Komathi untuk berbaik namun mangsa enggan dengan menyatakan telah mempunyai orang lain.

    "Situasi mengakibatkan suspek yang dalam kemarahan telah bertindak di luar kawalan dengan menetak Komathi," jelasnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

    "Mereka yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Mangsa ditetak suami mati adalah palsu "