• Malaysia Henti Import Rock Melon Australia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    CYBERJAYA - Kerajaan telah menghentikan serta-merta import buah tembikai wangi atau rock melon dari Australia selepas empat orang maut akibat dijangkiti wabak listeria yang melanda seluruh negara itu.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membeli buah tembikai tersebut yang diimport dari Australia kerana bimbang dengan pencemaran yang berlaku.

    “Pihak Australia telah menghentikan eksport buah tersebut dan pada masa sama, kita juga telah menyekat import buah itu sehingga keadaan kembali pulih.

    “Bagi buah rock melon tempatan pula, ia selamat dan tiada isu berkaitan pencemaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.

    Wabak itu yang dikaitkan dengan buah rock melon telah mencatatkan sebanyak 17 kes listeria sejak kes pencemaran itu dilaporkan pada minggu lalu.

    Menurut Pihak Kesihatan Makanan New South Wales, Australia, orang ramai yang mengalami simptom seperti selesema, loya, cirit-birit digesa mendapat rawatan di hospital atau klinik secepat mungkin.

    Jelasnya, bakteria listeria mudah menjangkiti mereka yang mempunyai daya ketahanan badan lemah seperti warga emas, bayi baru lahir dan wanita hamil.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Henti Import Rock Melon Australia "