• Malaysia Di Landasan Betul Jadi Antara 20 Negara Termaju

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di landasan betul untuk mencapai hasrat berada dalam kalangan 20 negara terbaik dan termaju di dunia berdasarkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai sektor.

    Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan antara 25 negara ekonomi paling berjaya menurut penilaian Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017/2018 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

    "Malaysia mencatatkan peningkatan dua kedudukan iaitu tempat ke-23 berbanding tempat ke-25 pada tahun sebelumnya daripada 138 negara seluruh dunia.

    "Penilaian berasaskan 12 teras yang ia membabitkan 114 kriteria seperti institusi, infrastruktur, persekitaran ekonomi makro, kesihatan, pendidikan dan latihan, kecekapan pasaran barangan, pasaran buruh, kewangan, teknologi, saiz pasaran dan inovasi.

    "Peningkatan memberangsangkan itu menjadikan Malaysia kini mengatasi Ireland, Qatar, Korea, China, Russia, India, Arab Saudi, Itali dan Sepanyol," katanya.

    Beliau menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) mengenai faktor utama Malaysia kekal menjadi negara 25 terbaik bagi ekonomi paling berjaya dengan menduduki tempat ke-23 dalam penilaian terbaru GCR di Dewan Rakyat hari ini.

    Ahmad berkata, Malaysia juga berada di kedudukan yang baik dalam 10 laporan penilaian antarabangsa antaranya, tempat ke-28 daripada 118 negara menurut Global Talent Competitive Index; kedudukan ke-27 daripada 180 (Index of Economic Freedom) dan kedudukan ke-31 daripada 139 negara menurut Global Information Technology Index.

    Katanya, berdasarkan penilaian Global Peace Index pula, Malaysia kini berada di kedudukan ke-29 daripada 163 negara, manakala kajian Human Capital Report melaporkan negara kini berada di tempat ke-33 daripada 130 negara.

    "Secara puratanya, kedudukan Malaysia kini berada di kedudukan ke-26 daripada 165 negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    "Melihat kepada prestasi berkenaan, hasrat Malaysia adalah untuk menjadi antara 20 negara terbaik serta termaju dunia adalah tidak mustahil," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Di Landasan Betul Jadi Antara 20 Negara Termaju "