• Majikan Boleh Semak Latar Belakang Pekerja – KPWKM

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Majikan boleh menyemak latar belakang individu sama ada mereka terlibat dalam jenayah kanak-kanak, menerusi sistem pendaftaran kanak-kanak yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

    Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd Dun berkata semakan melalui sistem tersebut bagi memastikan individu yang diambil bekerja di institusi yang melibatkan kanak-kanak seperti tadika, taska dan taman asuhan bebas daripada terlibat dengan kes jenayah.

    “Di bawah pindaan Akta Kanak-Kanak 2016, kami memperkenalkan daftar kanak-kanak iaitu nama pemangsa dan individu yang disabit dengan kesalahan jenayah kanak-kanak yang diperoleh menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimasukkan ke dalam daftar ini.

    “Jadi majikan yang ingin melantik seseorang dalam institusi mereka yang ada melibatkan sekolah, tadika, taska, mereka boleh menghantar nama-nama tersebut kepada kami untuk disemak sama ada nama-nama tersebut termasuk sebagai pemangsa atau tidak,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk mengenal pasti mangsa dan pemangsa kes jenayah kanak-kanak di negara ini.

    Azizah berkata semakan melalui daftar kanak-kanak tersebut adalah satu mekanisme yang dirangka kerajaan untuk memastikan kes jenayah kanak-kanak di negara ini tidak berlaku.

    “Sejak akta tersebut dilaksanakan, kita sudah mendapat pelbagai rujukan daripada majikan seluruh negara khususnya institusi yang melibatkan kanak-kanak untuk menyemak sama ada individu yang dilantik mereka adalah pemangsa atau penjenayah.

    “Sekiranya nama tersebut tidak tersenarai dalam daftar kanak-kanak tersebut, kami akan membuat rujukan kepada PDRM pula bagi memastikan individu tersebut benar-benar bebas daripada jenayah,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Majikan Boleh Semak Latar Belakang Pekerja – KPWKM "