• Mahkamah Tegur Farid Kamil

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini menegur pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

    Majistret Nor Ariffin Hisham berkata, apa-apa perkara perlu dirujuk kepada mahkamah dan ia akan dipertimbangkan.

    "Mahkamah ingin beri peringatan kepada tertuduh sebab kes telah dituduh di mahkamah. Harap tertuduh tidak buat kenyataan berkaitan kes dituduh di mahkamah.

    "Apa yang diingatkan dalam kenyataan itu secara atau tidak secara langsung ada kaitan. Peguam boleh teliti balik. Walaupun tidak secara seratus peratus tapi perkara tersebut secara langsung ada menyatakan.

    "Elak daripada membuat apa-apa komen selagi kes ini masih dalam mahkamah. Ini sebagai peringatan," tegasnya.

    Pada 28 Februari lalu, Farid Kamil telah mengadakan sidang akhbar di Setia Alam, Shah Alam.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik berkata, prosiding hari ini adalah untuk sebutan serahan dokumen.

    Mahkamah menetapkan 7 Mei hadapan untuk pengurusan kes.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pelakon filem Tombiruo itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kece­deraan kepada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

    Pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan-perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

    Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Janu­a­ri lalu.

    Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, tarikh sama. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Tegur Farid Kamil "