• LRT Akan Beri Impak Pembangunan Kepada Pantai Damai - Abdul Rahman

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 31 March 2018
    A- A+
    KUCHING: Pembinaan LRT pastinya akan dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat di Sarawak secara amnya dan juga di kawasan selatan Kuching termasuk di kawasan DUN Pantai Damai.

    Menteri Muda Utiliti Elektrik Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, pengumuman Ketua Menteri mengenai satu komponen bentuk baru pengangkutan di Sarawak adalah tepat pada masanya.

    "Kerajaan negeri akan membangunkan LRT dan Monorel transit untuk kawasan selatan di Sarawak dan laluan yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri ialah kawasan selatan iaitu di bahagian Kuching, Samarahan dan Serian."

    Menjelaskan, ianya adalah fasa pertama sebeluk dibawa ke kawasan tengah buat masa akan datang, Abdul Rahman juga berkata, enam laluan yang telah ditetapkan oleh pihak perancangan negeri, tiga laluan akan menjadi keutamaan.

    "Dalam tiga laluan tersebut, dua laluan akan melalui kawasan Pantai Damai, satu di Muara Tuang ke Pantai Damai dan yang kedua daripada kawasan Serian ke Telaga Air sebagai laluan yang ke-empat dan ke-lima," katanya lagi.

    "Saya telah mengikuti taklimat yang disampaikan oleh pihak perancangan dan juga pengusaha, laluan daripada Muara Tuang ini melalui kawasan tengah Bandaraya Kuching sebelum menyeberangi Sungai Sarawak dan melalui kawasan Sungai Tengah sehingga ke Damai."

    Jelas Abdul Rahman lagi, ia akan melalui kebanyakan kampung yang berada di Pantai Damai terutama daripada Bandar Baru Samariang, Rampangi, Sungai Bedaun hingga ke Kampung Santubong.

    "Jadi secara langsungnya, kawasan ini disediakan dengan laluan LRT dan terus akan memberi impak kepada pembangunan kawasan-kawasan yang terlibat dan saya juga telah memaklumkan kepada masyarakat kampung agar mereka bersedia dengan pembangunan LRT ini dan sedikit sebanyak memberi tempias kepada pembangunan kawasan mereka."

    "Contoh yang terbaik kita lihat di Semenanjung apabila di bangunkan Lebuhraya PLUS serta lebuhraya yang lain termasuk laluan keretapi, LRT dan MRT dimana kawasan-kawasan yang dilalui dilihat membangun terutamanya dari segi pembangunan hartanah di kawasan tersebut," tambahnya lagi.

    Abdul Rahman juga menyatakan pihak kerajaan juga hendaklah memaklumi masyarakat kampung supaya bersedia mengambil bahagian pada masa kawasan ini dibangunkan agar mereka turut sama membangun.

    "Sekiranya disediakan satu transit zone LRT maka ia boleh menjadi pemangkin pembangunan di masa-masa akan datang dan pastinya masyarakat di kawasan Pantai Damai menunggu bermulanya projek ini yang akan dapat memberi manfaat yang luas kepada semua."

    Tambahnya lagi, selain memberi pembangunan tempatan, ia memberi kemudahan untuk masyarakat kita bergerak dan ini menjadi satu perkara yang penting bagi masyarakat di Sarawak bahawa pada masa akan membangun dalam skala yang lebih besar dengan anjakan paradigma oleh Ketua Menteri kita.

    Abdul Rahman, yamg juga merupakan ADUN Pantai Damai berkata demikian kepada pemberita setelah merasmikan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pusat Tempat Mengundi (PTM) PBB/BN di Kampung Soarabaya Ulu, Petra Jaya pada pagi tadi.

    Ditanya mengenai wawasan dan perancangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg mengenai pembangunan negeri Sarawak, Abdul Rahman berkata, Ketua Menteri kita telah pun menjadi menteri ahli kabinet lebih kurang 30 tahun.

    "Dia (Abang Johari) bermula dalam usia yang agak muda dan selama ini beliau memerhatikan pembangunan negeri maka sebab itulah, beliau menganjak pembangunan ke atas Sarawak seperti yang kita lihat ekonomi, PETROS, EBOS, LRT dijalankan serentak," kata Abdul Rahman lagi.

    "Walaupun negeri kita telah berjayakan dalam skala yang besar oleh mantan-mantan Ketua Menteri yang lepas tetapi perhatian Abang Jo ialah kedudukan negeri kita berbanding negeri-negeri yang lain."

    "Negeri lain membangun, negara lain pun membangun dan negeri kita kalau boleh jangan ketinggalan dan satu yang kita lihat ialah kita ada sumber asli alam sekitar dimana ia boleh kita guna pakai untuk membangunkan dan negeri kita."

    "Jadi saya perhatikan Ketua Menteri menjadi pencetus kepada idea membangunkan negeri kita dalam scala besar tanpa menunggu satu persatu dan ini bermakna Sarawak menggunakan hasil masuk negeri kita termasuk minyak, gas dan hasil-hasil lain untuk digembelengkan sumbernya digunakan untuk membangunkan negeri kita."

    "Kita ada Bank sendiri dan akan membangunkan LRT serta banyak pembangunan yang menjerumus kepada memberi manfaat kepada masyarakat dan letakkan negeri Sarawak sebagai antara negeri yang termaju di Malaysia dan setanding dengan Negara lain di dunia," tambah Abdul Rahman lagi.
  • No Comment to " LRT Akan Beri Impak Pembangunan Kepada Pantai Damai - Abdul Rahman "