• Leka ‘Membuang Hajat’, Pemuda Diterkam Buaya

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    KALIMANTAN TIMUR – Nasib malang dialami oleh seorang lelaki apabila tangan kanannya cedera parah setelah diterkam seekor buaya saat dia sedang membuang air besar di tepi Sungai Dumaring, di sini, Sabtu lalu.

    Disebabkan kejadian tersebut, tangan kanan pemuda yang dikenali dengan nama Saharuddin itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Pratama, Talisayan, di sini bagi mendapatkan rawatan.

    Menurut ibu mangsa, Saruti, insiden tersebut berlaku ketika Saharuddin ingin mengambil air dari sungai tersebut untuk membersihkan diri, namun secara tiba-tiba seekor buaya menerkam ke arah anaknya itu.

    Cerita Saruti, secara spontan, anaknya itu kemudiannya melawan dan bergelut dengan buaya berkenaan sebelum berjaya melepaskan diri.

    “Buaya mencuba menariknya ke air. Tapi, anak saya memaksa menarik tangannya untuk melepaskan diri,” katanya lapor Berau Post.

    Sejurus berjaya melepaskan diri, mangsa sempat berjalan pulang ke rumahnya dengan darah menyelubungi tangannya untuk meminta pertolongan sebelum dibawa ke hospital.

    “Saat itu anak saya memang sendiri. Jadi tak ada yang melihat kejadiannya. Ketika pulang, saya terkejut dan langsung membawanya ke rumah sakit,” ujar Saruti.

    Berdasarkan info yang diterima oleh keluarga mangsa dan warga setempat, buaya berkenaan merupakan pemangsa utama di Sungai Dumaring.

    Perkara tersebut diakui Ketua Polis Daerah Talisayan, Inspektor Faisal Hamid yang mengatakan kawasan tersebut sememangnya merupakan kawasan habitat buaya dan harus dijauhi penduduk kawasan tersebut.

    “Kami juga sudah memasang papan tanda larangan beraktiviti di sungai. Penting untuk dipatuhi.

    “Yang menjadi sukar adalah, sungai menjadi sumber kepentingan masyarakat mendapatkan air. Jadi, kami akan mempertegas lagi larangan itu,” katanya.

    Sementara itu, Saharuddin kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan akibat pendarahan di tangan kanannya yang memerlukan 57 jahitan.

    Jelas seorang jurucakap dari Hospital Pratama, Talisayan, Saharuddin bernasib baik dan dapat mengelak maut kerana tidak terkena gigitan dari gigi taring buaya itu.

    “Pesakit mengalami pendarahan cukup parah. Tapi, pesakit kini sudah sedarkan diri dan kondisinya beransur pulih.

    “Berdasarkan keterangan doktor yang menanganinya, terdapat 4-5 titik luka tidak beraturan. Diameter lukanya juga berlainan. Bahkan ada tulang yang terkoyak gigi buaya. Tapi itu tidak vital,” jelasnya. -MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Leka ‘Membuang Hajat’, Pemuda Diterkam Buaya "