• Lebih Banyak Anjing Pengesan Diperlukan Untuk Kesan Kemasukan Dadah Ke Sarawak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Lebih banyak anjing pengesan dadah terlatih diperlukan untuk membanteras kemasukan bahan terlarang itu ke Sarawak.

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah anjing enam ekor yang ada adalah tidak mencukupi untuk membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kemasukan dadah di pintu sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang di negeri yang cukup luas ini.

    Justeru, katanya, lebih banyak anjing pengesan terlatih diperlukan untuk mengawal pintu masuk bagi memastikan dadah dapat disekat kemasukannya ke negeri ini.

    “Saya akan memanjangkan keperluan ini kepada kabinet negeri kerana kita berpendapat penggunaan lebih banyak anjing pengesan dadah terlatih ini adalah salah satu cara yang berkesan untuk menyekat kemasukan dadah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak, di sini hari ini.

    Katanya, masalah itu akan dikemukakan untuk diberi perhatian oleh kabinet negeri dalam tempoh terdekat.

    Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sarawak berkata, walaupun jumlah penyalahgunaan dadah di negeri itu masih terkawal, namun terdapat trend peningkatan dari setahun ke setahun.

    “Pada tahun lalu sebanyak 11,172 penagih dadah telah dikesan di negeri ini daripada 2.6 juta populasi penduduk.

    “Tiga kawasan bandar utama iaitu Kuching mencatatkan jumlah tangkapan paling tinggi iaitu 3,365 kes, Miri 1,079 kes dan Bintulu 839 kes,” ujarnya.

    Katanya, penggunaan dadah yang cukup popular ialah syabu, ganja, pil ekstasi, eramin 5 dan nospan. - UTUSAN ONLINE

  • No Comment to " Lebih Banyak Anjing Pengesan Diperlukan Untuk Kesan Kemasukan Dadah Ke Sarawak "