• Lebih 18,000 Rakyat Malaysia Dikesan Alami Kemurungan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Satu kajian mendapati 18,336 rakyat negara ini termasuk seawal usia 16 tahun dikesan mengalami pelbagai tahap kemurungan pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

    Beliau berkata jumlah itu berdasar kajian Kementerian Kesihatan melalui saringan minda sihat terhadap 273,203 orang yang dijalankan di klinik kesihatan dan komuniti pada 2017.

    Katanya daripada jumlah yang disaring itu, sebanyak 4.03 peratus atau 11,811 orang dikesan mengalami kemurungan tahap ringan, 1.26 peratus (3,680 orang) di tahap sederhana dan 0.62 peratus (1,682 orang) berada di tahap teruk.

    “Selain itu, melalui saringan minda sihat yang dijalankan dengan Kementerian Pendidikan ke atas 253,196 pelajar tingkatan empat, sebanyak 0.45 peratus atau 1,163 pelajar mengalami masalah kemurungan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Hilmi menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang bertanyakan anggaran rakyat Malaysia yang menderitai berbagai tahap kemurungan (depression) termasuk sebab dan rawatan pemulihan yang dilakukan.

    Hilmi bagaimanapun berkata masalah kemurungan di Malaysia tidak berada di tahap membimbangkan tetapi perhatian perlu diberikan dalam menangani masalah berkenaan.

    Mengenai punca berlakunya masalah kemurungan yang dialami rakyat di negara ini, Hilmi berkata ia disebabkan pelbagai faktor antaranya gangguan kimia dalam otak, masalah regulasi ‘mood’ yang tidak teratur, peristiwa kehidupan yang tidak mampu ditangani, faktor genetik dan pengambilan ubat-ubatan.

    Beliau berkata kaedah pemulihan kemurungan yang dijalankan adalah mengikut tahap keseriusan masalah yang dialami.

    “Bagi masalah kemurungan tahap ringan dan sederhana kita jalankan sesi kaunseling dan Kemahiran Gaya Daya Tindak dan Teknik Relaksasi sementara bagi individu yang mengalami kemurungan teruk mereka akan dirujuk kepada pakar perubatan keluarga atau psikiatri untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Setakat ini, katanya terdapat empat buah institusi mental di seluruh negara iaitu di Permai, Johor; Tanjung Rambutan, Perak; Bukit Padang, Sabah dan Sentosa di Sarawak serta 33 hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan psikoterapi dan kaunseling bagi rawatan kemurungan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 18,000 Rakyat Malaysia Dikesan Alami Kemurungan "