• Lebih 14,000 individu dilepaskan daripada status bankrap antara 2013 hingga 2017

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Seramai 14,108 individu yang diisytiharkan bankrap telah dilepaskan daripada status itu bagi tempoh 2013 hingga 2017, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

    Katanya, jumlah itu adalah 14.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 100,610 yang diisytiharkan bankrap bagi tempoh yang sama.

    "Bilangan bankrap yang dilepaskan mengikut tahun adalah seramai 2,936 orang pada 2013, 2,852 (2014), 2,731 (2015), 2,732 (2016), 2,857 (2017)," katanya semasa menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Er ingin tahu jumlah bilangan bankrap dan berapa bilangan yang berjaya melepaskan diri daripada status bankrap di setiap negeri dari tahun 2013 hingga 2017.

    Menjawab soalan tambahan Er berkenaan langkah kerajaan membantu individu yang diisytiharkan bankrap, Razali berkata antara langkah yang diambil termasuk pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967.

    "Perkara-perkara yang kita buat adalah untuk memastikan bahawa tidak mudah untuk membankrapkan orang, kita hendak guna tenaga dalam negara kita ini untuk terus menyumbang, kerana jumlah bankrap yang tinggi boleh mengurangkan jumlah produktiviti," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 14,000 individu dilepaskan daripada status bankrap antara 2013 hingga 2017 "