• Lebih 14,000 Individu Bankrap Dilepaskan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seramai 14,108 individu yang diisytiharkan bankrap berjaya dilepaskan daripada status tersebut sepanjang tempoh 2013 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

    imbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, jumlah itu merupakan 14.2 peratus daripada 100,610 individu yang diisytiharkan bankrap bagi tempoh yang sama.

    "Daripada jumlah tersebut, 69.1 peratus adalah lelaki dan 30.9 peratus adalah wanita," katanya ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berkenaan perkara itu.

    Razali berkata, kerajaan menyasarkan lebih ramai individu bankrap dapat dilepaskan kerana bilangan mereka (bankrap) yang tinggi boleh menjejaskan produktiviti negara.

    Justeru, katanya dengan adanya Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan kelulusan pindaan Akta Kebankrapan 2016 tahun lepas, misi tersebut diharap dapat dicapai.

    Di bawah pindaan Akta Kebankrapan 2016, jumlah maksimum bankrap dinaikkan kepada RM50,000 daripada RM30,000 sebelum ini.

    Akta yang diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat pada 29 Mac tahun lepas itu juga memberi perlindungan kebankrapan terhadap penjamin sosial. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 14,000 Individu Bankrap Dilepaskan "