• Lebih 10 akaun palsu anak Siti Nurhaliza wujud

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+


    Tidak sampai lima minit selepas mengumumkan nama puteri sulungnya malam tadi, terdapat lebih 10 akaun Instagram yang wujud menggunakan nama anak Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Siti Aafiyah.

    Antara akaun tersebut adalah @sitiaafiyah_, @sitiaafiyahkhalid_official, @sitiaafiyahctdk_, @sitiaafiyah.official, @sipipimerahcomel dan @sitiaafiyah.khalidjiwa.


    Bagaimanapun, mengikut semakan Kosmo!, tiada satu pun daripada akaun tersebut merupakan akaun sebenar anak Siti.

    Siti Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu pada pukul 8.17 pagi di Pusat Perubatan Gleneagles, Jalan Ampang di sini.

    Sebelum ini, kehadiran bayi perempuan itu dalam hidup Siti yang menanti selama 11 tahun untuk dikurniakan cahaya mata diberi gelaran nama Fatimah Az-Zahra sementara nama sebenarnya diumumkan pada hari ketujuh kelahirannya.

    Malam tadi, Siti, 39, dan Khalid, 59, mengumumkan nama sebenar puteri sulung mereka pada sebuah majlis tahnik dan akikah yang berlangsung di kediaman mereka di Hulu Kelang, Selangor.

    Dalam pada itu, Siti bakal melancarkan video klip penuh lagu Comel Pipi Merah di akaun rasmi YouTube Siti Nurhaliza yang memaparkan pengalaman sebelum, semasa dan selepas penyanyi itu melahirkan Siti Aafiyah. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 10 akaun palsu anak Siti Nurhaliza wujud "